Kelas Tahun 13 dari International School Brunei (ISB) yang telah berjaya menamatkan Program Diploma International Baccalaureate (IB) bagi Tahun 2025 diraikan pada Majlis Pengijazahan IB ISB yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Country Club, malam tadi.
Majlis Pengijazahan IB ISB 2025 turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja dijunjung oleh Pengerusi Lembaga ISB, Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley.
Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri berserta kerabat diraja yang lain begitu berbangga dan menyaksikan atas penganugerahan pencapaian cemerlang yang dianugerahkan kepada Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim iaitu menerusi mata pelajaran Sports, Exercise and Health Science HL, Economics HL, Geography HL dan juga Malay B SL.
Adapun YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim merupakan antara graduan ISB Tahun 13 bagi Tahun 2025 yang telah berjaya menamatkan Peperiksaan Akhir IB pada bulan ini, justeru, majlis tersebut adalah untuk memperingati pencapaian para pelajar dalam mencapai satu tahap penting dalam kehidupan mereka.
Sejurus keberangkatan tiba, DYTM dan YTM berkenan dijunjung untuk bergambar ramai dan kemudiannya memasuki dewan diikuti dengan perarakan daripada para graduan masuk ke dalam dewan.
Pada majlis berkenaan, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim berkenan mengurniakan sabda memberikan nasihat bukan hanya buat graduan IB tetapi juga secara umumnya agar menghargai masa dan pengalaman selagi ia masih ada.
YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim seterusnya bersabda menekankan bahawa jangan tunggu sehingga semua saat indah hanya tinggal kenangan. Nikmatilah semuanya itu sekarang, jadi, semoga tahun-tahun kebelakangan ini, kehidupan sekolah dan kenangan di ISB membawa makna istimewa kepada awda semua, sepertimana ia bermakna buat YTM.
Dalam sabda, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim juga berkongsi kenangan tentang perjalanan pendidikannya di ISB yang bermula dari Prasekolah (Pre-Kindy) pada usia 2 tahun dan berakhir dengan tamatnya Program Diploma IB di Tahun 13.
"Kami telah memiliki guru-guru yang luar biasa yang sentiasa mendorong kami, menyokong kami dan mengingatkan kami tentang potensi yang kami miliki, terutamanya apabila kami meragui kemampuan diri sendiri.
“Sama ada melalui kata-kata galakan secara senyap atau maklum balas kecil untuk memperbaiki penilaian dalaman kami, mereka telah memberi impak yang lebih besar daripada apa yang mereka mungkin sedar. Terima kasih, para guru dan semua staf Pra-U," sabda YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ketika berkenan menzahirkan penghargaan yang mendalam atas bimbingan dan sokongan yang diterima selama di sekolah berkenaan.
Terdahulu, Dominic Morley dalam sembah alu-aluannya merafakkan berbesar hati dan melahirkan ucapan tahniah kepada graduan Tahun 13 dan mereka seharusnya berasa bangga sebagai graduan ISB dan IB.
“Malam ini, kita meraikan serta menjangkakan banyak peluang yang menanti awda sewaktu awda memulakan perjalanan ke universiti terkemuka dan kerjaya yang menjanjikan," sembahnya.
Menurutnya lagi, sebagai graduan adalah mencerminkan nilai-nilai teras ISB – ketabahan dan semangat menghadapi cabaran, keterangkuman yang memperkukuh komuniti, kecemerlangan akademik yang mempertajamkan minda serta rasa hormat yang membimbing tindakan mereka.
Melalui usaha yang tidak berbelah bahagi, tambahnya lagi, mereka telah meletakkan asas untuk masa depan yang penuh kemungkinan. Beliau seterusnya berharap, para graduan terus membawa nilai-nilai ini ke hadapan dan bersedia untuk memberi impak yang bermakna dalam apa jua laluan yang mereka pilih.
Dominic Morley juga menyatakan penghargaan terima kasih kepada semua rakan sekerja yang telah mewujudkan persekitaran sekolah yang sangat menyokong dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang luar biasa dan seterusnya membentuk setiap pelajar cemerlang.
"Di ISB, kami sentiasa percaya bahawa pendidikan berkualiti adalah salah satu aset terbesar seseorang individu – satu kekuatan kekal yang, apabila dimiliki, tidak dapat diambil kembali, dan memberi manfaat kepada individu serta komuniti mereka," sembah ucapan Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmad.
Pengerusi Lembaga ISB itu seterusnya menyembahkan bahawa misi mereka iaitu, 'Inspiring Minds, Shaping Values and Building Futures' di mana berlandaskan misi tersebut menjadi pendorong untuk memperkenalkan Program Diploma IB pada tahun 2001 iaitu sekolah pertama di Negara Brunei Darussalam dan Pulau Borneo yang telah mengendalikan inisiatif sedemikian.
“Sejak itu, kami amat berbangga untuk menyatakan bahawa keputusan IB secara konsisten melebihi purata dunia setiap tahun. Kami percaya dan berharap, dengan program berprestij ini, pelajar kami memiliki pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan, apabila mereka melangkah keluar dari alam persekolahan," sembahnya lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah ISB iaitu Roy David Kurian, Sharon Tan, Jorge Francisco Vega dan Wong Chin Toon serta Pengurus Am ISB, Vienna Law ; Ketua Sekolah Menengah ISB , Dr. Peter Jones ; Penyelaras IBDP ISB, Richard Edwards dan kakitangan ISB serta ibu bapa para graduan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto